|
KUALA LUMPUR, 18 Julai (Hrkh) - Sikap pentadbiran Universiti Malaya (UM) terutamanya pihak Hal Ehwal Pelajar dan Kolej Kediaman Ke-12 yang tidak prihatin jelas merupakan punca yang menyebabkan imej universiti tertua itu gagal dipertahankan sebagai universiti perdana yang berprestij.
Dalam keadaan aktiviti pembangunan sahsiah dan kepimpinan mahasiswa yang disekat, pihak pentadbiran universiti seolah-olah membebaskan mahasiswa dengan aktiviti yang tidak mencerminkan mereka sebagai penuntut menara gading.
Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata PAS menentang habis-habisan usaha mempromosikan gejala seks bebas oleh golongan Islam Liberal di mana jua dilaksanakan agenda tersebut.
Beliau berkata demikian apabila mengulas ulasan seorang pembaca yang menghantar surat pembacanya di Utusan Malaysia hari ini dengan tajuk, 'Wajarkah bincang seks keterlaluan di universiti?'.
Menurut 'mama terguris', beliau dimaklumkan anak perempuannya yang merupakan mahasiswi baru di UM telah mengikuti satu program yang dinamakan 'Stupid Debate' yang diadakan di Kolej Kediaman ke-12 sempena Minggu Interaksi pelajar-pelajar baru.
'Stupid Debate' yang dikendalikan oleh Pembantu Mahasiswa dijalankan secara terbuka di kafe kolej berkenaan dengan membincangkan pelbagai topik hangat yang dirasakan beliau sebagai tidak sesuai iaitu, 'memakai seluar pendek atau kain lebih baik untuk turun ke kafetaria' , 'lelaki badan berbulu lebih baik daripada yang memiliki badan yang tidak berbulu?', 'cicakman lebih baik daripada batman' dan banyak lagi.
Mohamad Sabu dalam kenyataannya kepada Harakahdaily berkata, program demikian telah mencemarkan imej UM sebagai kampus tertua negara yang terkenal dengan tahap akademiknya yang membanggakan negara.
Selain itu, beliau turut kesal dengan tindakan penganjur yang secara tidak langsung menjatuhkan imej Raja Dr Nazrin Shah yang dinamakan pada kolej tersebut.
Dalam pada itu ujarnya, UM kini terkenal dengan demokrasi yang telah hilang, ditambah dengan kedudukannya sebagai kampus yang telah merosot kualitinya.
"Saya tidak tahulah apa lagi yang akan terjadi selepas ini, dengan gerakan mahasiswanya disekat, diikat kaki dan tangannya. Dan sekarang generasi muda sedang menghadapi masalah keruntuhan akhlak yang kronik akibat pengaruh budaya tidak sihat,"katanya.
Ujarnya, tidak hairanlah jika insititusi pengajian tinggi gagal melahirkan produk yang berkualiti untuk menjadi modal insan seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri.
"Semuanya itu adalah retorik sebagai bukti kegagalan sistem pendidikan kita pada hari ini yang tidak mendidik insan menjadi manusia yang sebenar apatah lagi untuk menjadi pewaris kepimpinan negara," jelasnya.
Untuk itu, Mohamad Sabu berkata pihak universiti khususnya pihak pentadbiran kolej sewajarnya lebih peka akan aktiviti yang sesuai bagi golongan mahasiswa.
"Mereka sepatutnya bertanggungjawab terhadap sebarang aktiviti yang dijalankan oleh mahasiswa bagi melahirkan mereka mengikut acuan yang telah ditetapkan,"tegasnya lagi.
Berikut adalah teks penuh surat pembaca tersebut.
________________________________________________________________
Wajarkah bincang seks keterlaluan di universiti?
KEPULANGAN anak-anak ke kampung halaman selepas minggu pertama di universiti merupakan satu kepulangan yang amat bermakna buat keluarga bagi saya seorang ibu.
Bahkan, kami sekeluarga meraikan kepulangan anak perempuan kami dengan keluar makan di sebuah restoran terkemuka di daerah kami.
Namun sebagai seorang ibu, saya benar-benar terkejut apabila anak gadis saya yang merupakan seorang graduan di universiti bertanyakan soalan yang berbunyi, “Mak, mana yang lebih bagus, seks sebelum makan atau seks selepas makan?” Hancur luluh hati saya apabila seorang gadis desa yang merantau ke ibu kota bertanyakan soalan yang sebegitu jelik dan mengaibkan.
Apabila ditanya, anak saya juga mengaku bahawa topik-topik perbincangan sebegitu sudah menjadi suatu kebiasaan di sana.
Air mata saya hampir menitis apabila dia menyatakan bahawa ada satu program yang dinamakan Stupid Debate telah diadakan di kolej kediamannya sempena Minggu Interaksi, Kolej Kediaman ke-12 secara terbuka di kafe kolej berkenaan.
Banyak lagi topik ‘hangat’ yang telah dibincangkan selain tajuk itu, sehingga kita tertanya-tanya apakah sebenarnya yang sedang berlaku di universiti kita sekarang?
Adakah anak-anak kita diajar untuk menjadi tidak senonoh dengan perkara-perkara yang sebegitu keji?
Tambah memilukan lagi, menurut anak saya, malam berikutnya, ada tayangan perdana yang menayangkan beberapa filem dari malam hingga ke subuh.
Bagi saya, perbincangan tentang pendidikan seks ini relevan bagi masa sekarang lantaran banyaknya gangguan seksual berlaku khususnya terhadap golongan wanita.
Namun yang pastinya diskusi ini dibincangkan dalam bentuk ilmiah yang diberi oleh mereka yang pakar dan profesional. Ini memberi impak dan kesan yang baik kepada remaja masa kini.
Saya juga tidak menyalahkan remaja yang ingin berseronok tetapi alangkah baiknya jika keseronokan itu dikawal dan tidak berlebihan agar budaya ketimuran kita terpelihara.
Sebenarnya, menjadi tanggungjawab pentadbiran kolej atau universiti untuk melihat pengisian yang dijalankan sepanjang program ini berlangsung agar sejajar dengan misi dan visi universiti.
Kita bukan sahaja ingin melihat anak kita bijak dalam akademiknya bahkan kita mahukan budaya intelektual diwujudkan khususnya di institusi pengajian tinggi.
Untuk makluman, suami saya juga merupakan bekas graduan di universiti yang sama namun katanya, perkara sedemikian tidak pernah berlaku sepanjang dia menuntut di situ.
Apa yang kami mahukan adalah penjelasan daripada pihak pentadbiran kolej atau universiti. Kami selaku ibu bapa benar-benar kecewa dengan apa yang telah berlaku sebenarnya.
Kami tidak mahu anak-anak kami nanti menjadi sampah masyarakat keluaran universiti-universiti tempatan.
Pada pandangan saya, perkara sebegini bukan sahaja berlaku di Universiti Malaya sahaja, ia pasti berlaku di universiti lain.
Kepada ibu bapa, tanyalah kepada anak-anak anda sendiri apakah sebenarnya yang telah mereka lalui sepanjang di universiti, saya yakin dan pasti bahawa anda akan sependapat dengan saya kerana setiap ibu bapa mahukan anak-anak mereka menjadi manusia yang sebenar-benar manusia.
Tak perlu untuk kita bertegang urat untuk menyelesaikan perkara ini, cuma cuba fikirkan apa yang akan anda rasa apabila anak anda adalah salah seorang daripada mereka yang terlibat dengan ‘kejadian’ yang saya kemukakan.
Mungkin ramai yang sukar untuk percaya, namun terpulanglah, tepuk dada, tanya selera.
– MAMA TERGURIS,Johor. - mks. |